Pages

Friday, November 9, 2012

Anugerah Skrin di Padang Mahsyar

Malam ini, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan lagi usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dan karyawan tanah air khususnya pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton. Anugerah Skrin 2012 kali ini telah mengangkat ‘Selami Dunia Fantasi Kami’ (Fairy Tale) sebagai tema.

Namun, saya bukanlah hendak bercerita tentang Anugerah Skrin TV3 yang mungkin sudah berada di penghujung rancangan saat jari-jemari saya ligat membuat tarian tango di atas keyboard menulis entry ini. Kerana cerita dunia retis ni tidak mungkin saya akan selitkan di sini. Kerana anda boleh mendapatinya di blog-blog hiburan popular tanah air seperti uglynara, rotimiskin, dan ohbintang. Cuma saya ingin bergosip dengan anda mengenai Anugerah Skrin di Padang Mahsyar kelak.


Tahukah anda wahai umat yang mengaku diri beragama Islam sekalian. Setelah malaikat Israfil meniup sangkakala untuk kali kedua, semua makhluk yang mati akan dibangkitkan semula di padang mahsyar yang luasnya seperti padang jarak padang tekukur dalam keadaan telanjang dan hina. Di padang mahsyar tiada tema fairy tale. Tiada lagi pakaian mahal ala Cinderella mahupun Alice in Wonderland. Pada waktu itu, kita tidak sempat berfikir tentang rasa malu. Lebih tak malu daripada manusia yang mendedah aurat dan berposing dengan bangganya di hadapan cameraman. Kerana pada waktu itu hati kita sangat takut memikirkan nasib yang bakal kita hadapi selepas itu.

Kemudian, datanglah api yang berterbangan dengan bunyi umpama guruh, menghalau manusia, jin, dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Maka semua makhluk pun bergeraklah ke tempat perhimpunan. Bagi yang banyak beramal, mereka bergerak menggunakan tunggangan. Yang kurang amal, berjalan kaki. Yang banyak dosa, berjalan dengan muka. Tiada lagi karpet merah. Tiada lagi sorakan peminat fanatik. Si ibu lupa anak, suami lupa isteri. Kepala otak dah tak ada masa nak fikir pasal orang lain. Berbeza dengan Anugerah Skrin TV3 di mana para selebriti masih boleh berkepit dengan pasangan masing-masing, bersentuhan dengan bukan mahram.

Ketika itu juga, matahari muncul semula dengan kepanasan berganda seolah-olah berada sejengkal di atas kepala kita. Kepanasan yang melampau tersebut membuatkan semua makhluk bermandi peluh, dan peluh menjadi lautan. Paras peluh tersebut bergantung kepada amalan kita samada paras tumit, dada, hidung ataupun terus tenggelam. Keadaan tersebut berlanjutan sehingga 1000 tahun lamanya. Anugerah Skrin TV3? Ada aircond rasanya dalam dewan tersebut. Paling lama, 4 jam saja nak mengadap acara tu.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat. Lalu langit terbelah, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar sambil bertasbih dengan suara yang kuat sehingga arasy itu tiba di bumi. Pada masa itu, seluruh makhluk menundukkan kepala kerana takut. Pada waktu inilah amalan kita di dunia ini dihisab menggunakan satu neraca timbangan bernama neraca mizan.

Ingat ya. Dunia ini juga pentas lakonan. Kita semua adalah pelakon. Segala 'lakonan' kita sepanjang hidup akan dipaparkan di sebuah skrin besar di padang mahsyar untuk diberi penilaian. Jika 'lakonan' kita mantap dan jalan cerita dibawa dengan baik, kita layak untuk menerima anugerah paling berprestij yakni percutian ke syurga Allah yang kekal abadi. Jika lakonan kita buruk dan gagal mengikut skrip yang telah disusun oleh 'Tuan Director' di atas sana, kita terpaksa transit di neraka terlebih dahulu. Pada masa itu juga tiada red carpet dibentangkan untuk menerima anugerah. Yang ada, cuma titian siratulmustaqim.







SZ: Lama aih tak update blog. Sibuk dengan 'lakonan' dunia.

5 360 juta komen:

Anonymous said...

ya allah,kami lalai ampuni kami ya allah,fitrah manusia selagi tak di depan mata azabtu,merekalah hero biarpun zero.

the malay male said...

Bab akhirat memang ramai yang lupa dan alpa

Fz27 said...

masa tu dah tak sempat toleh kanan kiri kerana sibuk dengan hal sendiri.. asyik berfikir apakah nasib diri???

hazanis said...

kesal dengan cara artis kita berpakaian.:(

Anonymous said...

@hazanis yee..tpi kita lihat diri kita dulu..tutup atau bungkus aurat.#note to myself