Pages

Tuesday, May 1, 2012

Perjanjian Hilful Fudhul (Sokongan Rasulullah Terhadap Kafir Quraisy)



Pengenalan

Hilful Fudhul adalah perjanjian yang paling terkenal di dalam sejarah semenanjung Tanah Arab sebelum Islam. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bererti "perjanjian yang disertai sumpah yang utama". Nama Hilful Fudhul, diambil dari beberapa nama orang yang mengadakan perjanjian sejenis pada masa sebelumnya. Ketiga-tiga nama orang tersebut masing-masing bernama Fadhal, iaitu

Fadhal bin Fudholah,
Fadhal bin Wad'ah
Fadhal bin al-Harist.

Berdasar pada keterangan kitab Siratul Halabiyah, ketiga-tiga orang tersebut telah mengadakan perjanjian yang bertujuan membela, menolong orang yang teraniaya. Kerana peristiwa perjanjian itu memang penting untuk diperingati dan bagi menghormati ketiga-tiga orang tersebut, maka para ketua Quraisy sebulat suara menamakan perjanjian itu dengan Hilful Fudhul.

Sejarah Hilful Fudhul

Diriwayatkan, apabila meninggalnya pemimpin utama kaum Quraisy iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim, Bangsa Quraisy dipandang merosot oleh kabilah-kabilah lain sesudahnya peperangan fujjar. Kelemahan ini timbul akibat kesalahan mereka sendiri. Masyarakat arab ketika itu tidak ada kesatuan dan persatuan yang sepakat. Ikatan kaum Quraisy dan kaum-kaum yang lain mulai longgar. Ada di antara mereka yang cuba menguasai kedudukan-kedudukan penting yang sebelumnya. Kedudukan-kedudukan itu hanya dikuasai oleh kaum Quraisy yang berketurunan Abdul Manaf . Semenjak zaman pemerintahan Qusai bin Kilab hinggalah zaman Abdul Mutalib, Kota Mekkah tidak pernah dicerobohi oleh sesiapa. Kecuali pada zaman Abdul Mutalib iaitu pencerobohan oleh Abrahah dan tentera bergajahnya. Umum mengetahui Abrahah dan tenteranya sememangnya tidak terkalahkan oleh pasukan Quraisy dan kaum-kaum yang lain.

Ketidakstabilan ini diambil kesempatan oleh Kaum Hawazin untuk menyerang Kota Makkah. Faktor yang lain ialah di kota Makkah tiada Jabatan Polis dan Undang-undang yang menahan dan menghukum penjahat walaupun di kalangan pembesar yang mencabuli hak orang lain seperti orang yang sedang bermusafir dan sebagainya. Maksudnya jenayah memang berleluasa di Kota Makkah dan tiada pencegahan serta hukuman. Kerana itu, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang sewenang-wenangnya menindas golongan bawahan, oleh kerana tidak ada keadilan dan hukuman bagi pelaku penindasan dan tidak ada pula lembaga yang menguruskan masalah itu.

Atas daya usaha Az Zubair bin Abdul Mutalib, pahlawan Bani Hasyim, beliau mengumpulkan bani-bani yang terkemuka dari kaum Quraisy di rumah Abdullah bin Jud'an untuk bermesyuarat. Bani-bani yang terlibat adalah seperti berikut :

Bani Hasyim
Bani Abdul Manaf
Bani Abdul Mutalib
Bani Zuhrah
Bani Taim

Keputusan Mesyuarat

Di Makkah dan kawasan sekitarnya selepas ini tiada lagi penganiayaan walaupun ke atas hamba sahaya, orang yang bermusafir, peniaga, penziarah, kanak-kanak, wanita, lelaki dan orang tua. Orang yang menzalimi akan dihukum manakala orang yang dizalimi akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hukuman tidak mengira bangsa, pangkat, keturunan dan warna kulit walaupun di kalangan kaum Quraisy. Sekiranya mereka menganiaya, mereka akan dihukum dengan hukuman yang setimpal .

Pada ketika ini, Nabi Muhammad saw baru berusia 20 tahun dan bagindalah peserta yang paling muda di majlis tersebut. Walaupun begitu, Nabi sudah terkenal dengan seorang pemuda yang sangat jujur lagi amanah, berfikiran cerdas dan tajam. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan kaumnya memilihnya menjadi salah seorang ahli mesyuarat yang penting ini .

Mesyuarat ini dikenali sebagai Hilful Fudhul. Hilful Fudhul berasal dari persetiaan 3 orang dari Bani Jurhum. Mereka adalah seperti yang dinyatakan di atas tadi iaitu Fadhal bin Fudholah, Fadhal bin Wada'h dan Fadhal bin Al Harist. Mereka bertiga berjanji akan membela orang yang dianiaya dan menghukum orang yang menganiaya tidak mengira rupa, bangsa, warna kulit dan pangkat dan sebagainya. Di atas peristiwa inilah mesyuarat yang dianjurkan oleh Az Zubair ini dikenali sebagai Hilful Fudhul .

Hasil daripada mesyuarat di kalangan kaum Quraisy ini tidak sekadar teori dan retorik tetapi ia dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Ia berjalan selama bertahun-tahun lamanya. Rasulullah s.a.w amat memandang tinggi perjanjian ini.
Sabda baginda, “Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya.” -Sirah Ibnu Hisyam dan turut diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad 

Sebab disepakatinnya perjanjian ini

Perjanjian yang menafikan semangat kefanatikan jahiliyah yang biasanya timbul dari perasaan ashobiyah kebangsaan atau sukuisme (perkabilahan). Disebutkan bahawa sebab disepakatinya perjanjian ini adalah lantaran dari seorang pedagang dari Yaman bernama Zubaid, dia ditipu oleh penduduk Makkah oleh kerana barang dagangan yang dibawa pedagang tersebut telah dibeli oleh Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy namun harganya tidak diselesaikan oleh penduduk Mekkah. Ketika pedagang tersebut meminta tolong kepada sekutunya iaitu Abdul Al Dar, Makhzum, Jumah, `Adi, dan para penduduk Mekkah, tidak ada seorang pun yang mempedulikannya.

Oleh kerana itu, dia menulis sebuah syair dan membacanya dengan keras di atas sebuah gunung. Kemudian Al Zubair Bin Abdul Muthalib bangun dan bertindak, "Apa kalian ini semua bisu?". Kemudian dengan hal itu mereka yang telah mengikat janji Hilful Fudhul segera bertindak menemui Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy dan mengambil barang dagangan lelaki dari Yaman tersebut. Kemudian memulangkan kepadanya, setelah mereka menyepakati perjanjian Al Fudhul tersebut.

Rasulullah mengungkapkan kesaksiannya pada perjanjian Hilful Fudhul, saat beliau belum diangkat Allah menjadi Rasul :

"Ketika aku bersama para bapa saudaraku turut sebagai saksi dalam persekutuan di rumah Abdullah bin Jud'am, betapa senang hatiku menyaksikan hal itu. Seandainya setelah Islam datang, aku diajak mengadakan persekutuan seperti itu, pasti ku sambut dengan baik.” (Muhammad Al-Ghazaly, dalam Fiqhus Sirah).

Penerapan Kisah "Hilful Fudhul" Dalam Dunia Islam Kontemporari

Peristiwa seperti Hilful Fudhul pernah diterapkan oleh salah seorang ulama yang berpegang kepada manhaj yang haq, manhaj Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Iaitu Fadhilatus Syeikh Abdul Aziz Bin Baz Rahimahullah dan Lajnah Ad Daimah Saudi Arabia. Ketika beliau berfatwa membolehkan Pasukan Amerika berada di Pinggir Padang Pasir Perbatasan dengan Iraq dan Kuwait ketika terjadi pencerobohan oleh Saddam Husein (Tokoh Parti Baats Sosialis) Iraq ke Kuwait tahun 1992. Sebenarnya hal ini bukanlah hanya pendapat Syeikh Abdul Aziz Bin Baz rahimahullah saja. Bahkan Imam Syafi'e rahimahullah pernah menyatakan hal tersebut. Imam Syafi'e Rahimahullah menegaskan bahawa yang menjadi ukuran dalam boleh dan tidaknya tahaluf (yang ertinya secara etimologi dari kata al-hilfu yakni ai al-`ahdu iaitu perjajian, dan sumpah) dengan non muslim adalah kemaslahatan umat (lihat Mughni al-Muhtaj; 4/221).

Saat itu, para ulama Lajnah Ad Daimah yang diketuai beliau berfatwa membolehkan meminta bantuan daripada non muslim dalam hal menghentikan kezaliman yang dilakukan oleh saudara yang seagama. Apalagi negara tetangga Saudi Arabia sewaktu itu tidak satu pun yang mendokong negeri Saudi Arabia. Bahkan mereka memberi bantuan moral kepada presiden Iraq yang nyata melakukan kezaliman saat itu dengan menceroboh Kuwait dan akan menyerang Saudi Arabia.

Ibrah Hilful Fudhul

1. Keadilan adalah nilai sejagat yang harus dipertahankan. Penyertaan dan dokongan Nabi Muhammad saw terhadap peristiwa tersebut bertujuan untuk memperkukuh sendi-sendi keadilan. Nilai-nilai kebenaran mesti didukung sekalipun muncul dari kaum jahiliah.

2. Hilful Fudhul adalah sesuatu yang utopia dalam kegelapan jahiliah. Hal tersebut sebagai indikasi bahawa tersebarnya virus-virus yang merosak tuntutan moral dan agama pada suatu masyarakat tidak bererti mensiakan nilai-nilai kebaikan yang lain. Sekalipun masyarakat Makkah majoritinya penyembah berhala (paganisme) dan dekadensi moral bermaharajalela seperti zina, riba dan kezaliman tetapi terdapat juga orang-orang yang berakhlak mulia yang mahu menegakkan keadilan dan menolak penganiayaan.

3. Kezaliman dengan segala bentuk dan tipunya bertentangan dengan ajaran Islam. Keadilan hendaknya ditegakkan tanpa memandang warna kulit, agama, dan suku.

4. Pengesahan hukum bolehnya melakukan perjanjian dan kesepakatan antara perbezaan agama dalam hal-hal yang membawa kepada kebaikan dengan mempertimbangkan pencapaian maslahat (kebaikan) dan mafsadat (kerosakan) dari segala aspek.

5. Seorang muslim sepatutnya memiliki nilai positif untuk merealisasikan kebaikan lingkungan dan masyarakatnya, bukan sebagai penonton yang kagum atau terpana melihat hasil yang muncul dari proses tersebut.

Kesimpulannya

Sikap positif Rasulullah saw terhadap Hilful Fudhul menegaskan betapa Islam mendukung sebuah perjanjian yang sarat dengan nuansa perlindungan dan pembelaan hak asasi manusia, walaupun inisiatif dari perjanjian tersebut datang dari kalangan non muslim, dan bahkan sebelum masa kerasulan nabi Muhammad SAW lagi.

Hadis tersebut menunjukkan sikap Nabi SAW yang sangat prihatin terhadap sebarang pakatan atau tindakan untuk menentang kezaliman. Biarpun sumpah setia ini berlaku sebelum kebangkitan Nabi SAW sebagai Rasul akhir zaman, tetapi naluri seorang Nabi sangat terkesan dengan sebarang tindakan yang dilakukan untuk menentang kezaliman .

Rasulullah SAW telah menjelaskan mengenai keterlibatan baginda di dalam peristiwa Hilful Fudhul di zaman jahiliyyah, baginda menyatakan, jika peristiwa Hilful Fudhul (dimana mereka bahu-membahu untuk kemenangan) terjadi di masa kenabian maka Rasul memilih untuk ikut serta di dalamnya. Dalam kesempatan lain Rasul pernah meminta pertolongan Muth’am bin Ady seorang Nasrani untuk kemanfaatan dakwah. Gambaran tersebut menunjukkan sejauhmana semua peluang dan kesempatan digunakan untuk kemaslahatan dakwah.

Wallahua’lam..

Rujukan : tinta mahasiswa


SZ : Panjangkan? Tapi, nak tambah ilmu, kenalah rajin membaca.

9 360 juta komen:

engineer kalai said...

rajin membaca utk cari point keburukan org lain... syabass...

Anonymous said...

saudara engineer kalai..
rajin membaca untuk tambah ilmu pengetahuan..ambil tahu tentang agama,janganlah nak fikir keburukan jer..saya rase saudara yang sedang cube mencari keburukan..

Anonymous said...

Berdebat dgn org tinggi ilmu 'fake' tkde gune jgk . :)

SENARAI BLOG MALAYSIA said...

salam mohon tukar link. link anda telah di senaraikan dalam blog kami. harap anda juga dapat masukan blog kami ke dalam bloglist anda.
TERIMA KASIH

http://bloglistmalaysia.blogspot.com

Fz27 said...

@engineer kalai rasanya kamu lah pembaca itu. membaca untuk cari point keburukan orang lain

Sunah Sakura said...

erk...da lama tak blogwalking...da lama gak tak datang sini...blog da bertukar wajah rupanya...hehehe...

adan said...

Thanks sharing ilmu bro.. baru tahu pasal perjanjian ni..

Haris Khairuddin said...

baru tau jugak pasal ni. terima kasih share info.


kalau info tu betul n dari sumber yg dipercayai, sebarkan sebanyak mungkin. biar ramai yg tau n semoga jadi saham di sana nanti. n pedulikan cakap org2 yg 'sakit'.

Anonymous said...

Bagus untuk tambahan ilmu. Supaya jadi bimbingan.